Berita dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Sabtu, 13 September. - Ribuan penduduk serta rakyat bukan saja yang tinggal di Daerah Tutong pada malam ini bersama-sama hadir bagi menyemarakkan lagi Pesta Perayaan Pekan Tutong 2025 yang berlangsung meriah bertempat di Kawasan Jalan Enche Awang dan Jeti Pekan Tutong.
Acara yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong tersebut adalah bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-79 Tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub yang juga selaku Penghulu Mukim Ukong.
Lebih 300 orang peserta terlibat di dalam perarakan yang diadakan di Jalan Enche Awang Pekan Tutong yang mana melibatkan penyertaan pasukan Serunai dan Tambur Jabatan Penjara dan Pasukan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Team Kreatif Daerah Tutong serta Gabungan Masyarakat Daerah Tutong iaitu Masyarakat Tutong, Dusun dan Kedayan.
Turut serta ialah Gabungan Masyarakat Iban, Tiong Hwa, Indonesia dan India. Juga tidak ketinggalan menyertai perarakan ialah persatuan silat serta penggiat-penggiat seni dan kebudayaan Daerah Tutong.
Pesta Perayaan berlangsung selama dua hari yang bermula pada 12 September 2025 itu menyaksikan pelbagai acara dan aktiviti mengambil tempat antaranya Tutong Culture Street, Aktiviti Zon Aktif yang mengetengahkan persembahan penggiat-penggiat seni tanah air, jualan bazar dan pada hari kemuncaknya malam ini, Perarakan Pesta Perayaan, Basikal Berhias dan Pertunjukan Bunga Api.
Cuaca yang redup diselangi hujan pada malam tadi tidak mematahkan semangat para pengunjung yang hadir bagi menyaksikan acara kemuncak iaitu pertunjukan bunga api yang diadakan di kawasan Mercu Tanda Sungai Tutong, sekali gus menjadi simbolik kepada kesyukuran, kegembiraan dan perpaduan masyarakat Daerah Tutong.
Penganjuran Pesta Perayaan Pekan Tutong 2025 bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini, malah turut memberi ruang kepada penggiat seni tempatan untuk menonjolkan bakat dan kreativiti mereka.
Selain menjadi platform kepada masyarakat untuk menyaksikan kepelbagaian persembahan, kebudayaan, pelancongan, sosial kemasyarakatan dan aktiviti sukarelawan, pesta ini turut membuka peluang ekonomi kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk pengusaha Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
Usaha ini seterusnya diharap dapat merangsang kemajuan Pekan Tutong sebagai pusat perniagaan yang strategik, berdaya maju serta berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
Dengan pelaksanaan program yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, Pesta Perayaan Pekan Tutong 2025 berjaya menyerlahkan semangat kerjasama, kesukarelawanan serta kecintaan rakyat Daerah Tutong dalam sama-sama menjayakan sambutan perayaan tahunan negara.